
PIHAK yang memperkecilkan tindakan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyampaikan ucapan menggunakan bahasa Melayu di pentas persidangan antarabangsa baru-baru ini, membuktikan pengaruh penjajah telah berakar umbi dalam jiwa mereka.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata pihak yang menganggap tindakan Tuan Ibrahim itu satu kelemahan kerana tidak mampu berbahasa Inggeris, adalah mereka yang terdedah dengan nilai kebangsaannya yang ‘tidak berjiwa’.
“Baru-baru ini, apabila Tuan Ibrahim berucap dalam bahasa Melayu di persidangan antarabangsa PBB mendapat pujian daripada ramai khususnya oleh pejuang Bahasa Kebangsaan.
“Namun, masih ada segelintir yang memperkecilkannya dan menganggapnya satu kelemahan kerana beliau tidak mampu berbahasa Inggeris,” katanya menerusi tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi hairan mengapa Presiden Indonesia Joko Widodo yang juga berucap dalam bahasanya tidak pula dipersoalkan.
“Akan tetapi, disebabkan YB Menteri Alam Sekitar dan Air daripada PAS, maka beliau diperlekehkan.
“Perkara ini sekali gus menandakan fobia terhadap PAS dalam rohnya terserlah, dan tanpa dapat disembunyikan lagi kebenciannya terhadap wajah Islam,” katanya.
Menurut Abdul Hadi, kini kebanyakan pemimpin negara khususnya negara besar atau negara yang benar-benar berdaulat pemimpinnya, berucap dan memeteraikan perjanjian dengan bahasa ibunda masing-masing.
Beliau berkata, ia termasuklah dalam persidangan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), walaupun mereka boleh berbahasa lain dengan fasih.
“Hal ini dapat ditonton dalam Youtube yang merakamkan ucapan langsung atau rakaman, sehingga pihak PBB menyediakan penterjemahnya,” katanya.
Malah, Abdul Hadi berkata, hari ini sudah ramai ketua negara yang hanya tahu berbahasa ibundanya sahaja, namun mereka tetap dipilih oleh rakyat menjadi ketua negara.
Katanya, adalah sangat malang bagi negara kita, terdapat golongan yang lemah jati diri kerana lemahnya bahasa Melayu dan terikut-ikut dengan agenda Amerika Syarikat yang mencipta orde baharu dunia (New World Order) termasuklah pengaruh penggunaan bahasa Inggeris sepertimana negara tersebut.
“Saya menyaksikan bagaimana negara India yang besar dan antara negara yang mempunyai paling ramai penduduknya telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan, sehingga peminta sedekah atau pengemisnya juga berbahasa Inggeris.
“Bagaimanapun, mereka tidak mampu menjadi kuasa besar sepertimana negara China, Jepun dan Jerman.
“Malah, mereka turut gagal dalam membasmi masalah buta huruf dan kemiskinan dalam kalangan rakyat mereka. Begitu juga negara Filipina yang kuat pengaruh Baratnya juga terus tercorot kedudukan negaranya,” katanya.
Baru-baru ini, Tuan Ibrahim tampil berani berucap menggunakan bahasa kebangsaan pada persidangan antarabangsa yang berlangsung di Glasgow, Scotland.
Beliau yang mewakili Malaysia dan sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, kelihatan gah berucap menggunakan Bahasa Melayu di hadapan delegasi negara-negara lain pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26). – Malaysiapost
