SELEPAS berbalas kenyataan panas di media sosial, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim seakan memberi bayang mereka telah berdamai.
Menerusi satu hantaran di Facebook lewat petang tadi, Menteri Besar Kedah memuatnaik gambar beliau menerima bunga dan makanan segera McDonald’s daripada Tengku Mahkota Johor (TMJ).
“Menjunjung Kasih TMJ atas kiriman bunga dan McD… hari Khamis ni kita berentap lagi, kalah, seri atau menang adalah adat perlawanan.. kasi panas line tu wajib laaa,” tulis Muhammad Sanusi yang juga Presiden Kedah Darul Aman FC.

Bunga kiriman TMJ kepada Muhammad Sanusi
Terdahulu TMJ yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menulis di Insta Story: “No diet? One way to keep a Clown happy. McDonald’s… always work.”
Baginda turut menyertakan gambar Muhammad Sanusi menerima kiriman makanan segara tersebut serta belon berwarna merah biru, iaitu warna rasmi JDT.
Terdahulu semalam Muhammad Sanusi enggan berdiam diri terhadap kritikan yang dilontarkan oleh TMJ mengenai isu tunggakan gaji pasukannya.
Kedah dilaporkan telah menyelesaikan tunggakan gaji pemain selama dua bulan sebelum turun beraksi menentang JDT dalam saingan suku akhir Piala Malaysia malam tadi.
“La ni bulan sebelaih [11] dah. Bulan satu sampai bulan sepuluh kena lawan JDT tiap-tiap bulan kaaa??? Apa punya peluru kapoq tala ikut suka dia,” tulis Menteri Besar Kedah itu semalam menjawab ‘tembakan’ TMJ berhubung isu gaji pemain Kedah.
Terdahulu TMJ menulis di media sosial miliknya: “Bila nak lawan JDT sahaja ke baru nak bayar gaji? Sampai bila nak perangai macam ni? Kepala pistol”.
Kemudian Muhammad Sanusi turut memuatnaik hantaran di Facebook menyatakan beliau tidak perlu diet untuk menurunkan berat badan dan telah lama bermain bola sepak.
Beliau dipercayai merujuk kepada mesej peribadi kiriman TMJ yang menyatakan Muhammad Sanusi boleh menghubunginya jika mahu menurunkan berat badan. – Malaysiapost

