SYARIKAT Eco Shop hari ini mengeluarkan notis memaklumkan perubahan harga jualan bermula 1 Disember ini.
Semua harga barangan sebelum ini ditetapkan hanya RM2.10 di Semenanjung dinaikkan kepada RM2.20 manakala di Langkawi, Sabah dan Sarawak dari RM2.30 menjadi RM2.40.
Eco Shop Malaysia menerusi kenyataan di Facebooknya berkata, perubahan harga itu terpaksa dilakukan kerana kos barangan semakin meningkat.
“Kepada para pelanggan yang dihargai, kami ingin mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan kepercayaan kepada kami.
” Selama ini, kami sentiasa memegang prinsip di mana kami menawarkan barangan yang berkualiti dengan harga yang paling murah. Ini telah menjadikan eco-shop dikenali dalam kalangan anda semua.
“Disebabkan kos barangan semakin meningkat dan pada masa yang sama, kami perlu memegang pada prinsip utama syarikat iaitu menawarkan barangan yang berkualiti.
“Dengan berat hati, kami membuat keputusan agar harga jualan akan berubah dari RM2.10 kepada RM2.20 (Semenanjung Malaysia) / RM2.30 kepada RM2.40 (Langkawi, Sabah & Sarawak) mulai pada 1 Disember 2021,” menurut kenyataan itu.
Dalam hantaran sama, Eco Shop turut mengesali pengumuman kenaikan harga tersebut dan berharap semua pelanggan akan terus memberi sokongan kepada mereka. – Malaysiapost

