KEHADIRAN mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob dalam satu program bersama calon Amanah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi disifatkan sesuatu yang positif buat Pakatan Harapan (PH).
Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata kesudian Tun Khalil hadir bersama beliau dan calon PH, Julasapiyah Kassim menyantuni nelayan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi petang tadi amat menyentuh perasaan.
“Bagi saya secara peribadi, kehadiran tokoh yang amat dihormati oleh rakyat Melaka ini, merupakan suatu yang positif kepada PH.
“Kita doakan PH akan memenangi PRN Melaka dan Adly (Zahari) kembali menjadi Ketua Menteri,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebooknya.
Julasapiyah atau mesra dengan panggilan Ustaz Julas telah bertanding dalam empat Pilihan Raya Umum (PRU) sejak 1999.
Empat kali menjadi calon ketika itu mewakili PAS untuk merebut kerusi DUN Kuala Linggi, menjadikan Penyelaras Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Masjid Tanah itu sebagai calon paling berpengalaman.
Pada PRN Melaka ini, Julasapiyah berdepan saingan empat penjuru, dicabar calon Barisan Nasional (BN) Rosli Abdullah, Aziah Mohd Saad (Perikatan Nasional) dan Kamisan Palil (Bebas). – Malaysiapost

