Syaf Ziyad
Penyandang yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis menggariskan enam teras utama untuk memenangi hati mengundi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Katanya, semua teras itu dirangka berdasarkan keperluan rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan parti politik berdasarkan pengalamannya menjadi wakil rakyat di kawasan itu sejak 2018.
Katanya ia meliputi pendidikan, keagamaan, anak muda, belia dan bukan bukan kerajaan (NGO), selain kebajikan, ekonomi serta perumahan untuk rakyat.
“Saya tidak janji puluhan manifesto, cukuplah enam teras yang diumumkan secara dasarnya sebelum diperincikan jika dapat meneruskan mandat pada 20 November ini.
“Antara masalah utama membelenggu penduduk di sini ialah kemiskinan yang bukan hanya dipelopori bangsa Melayu dan India sahaja, malah Cina dan hampir semua masyarakat dalam DUN ini,” katanya.
Terdahulu beliau membentangkan risalah laporan kejayaannya ketika menjadi Adun Rembia bermula tahun 2018 hingga 2021 di Alor Gajah, hari ini.
Risalah itu menurut beliau, akan dijadikan modal kempen untuk diedar ke peti surat rumah penduduk dalam tempoh kempen yang cuma berbaki lima hari lagi.
Jelasnya, risalah itu menunjukkan pelbagai pembangunan dan kebajikan telah diagih kepada rakyat tanpa mengira kaum, agama, bangsa dan parti politik dalam tempoh itu.
“Di bawah enam teras manifesto baharu ini pula, kita akan memperluaskan lagi program tuisyen percuma kepada anak-anak Rembia, serta menambah peruntukan di masjid-masjid dan rumah ibadat kaum lain.
“Selain itu, kita akan memperbanyak pembukaan kawasan industri kecil dan sederhana sekali gus merancakkan peluang ekonomi,” katanya,” tambahnya.
Jelas beliau, sekiranya sekiranya diberi mandat, beliau akan memastikan segala perancangan berjalan lancar kerana tidak mahu anak-anak Rembia keluar dari DUN itu untuk cari pekerjaan.
Mengulas mengenai prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk berkempen, Jailani berkata keadaan itu menyebabkan beliau hanya sempat bertemu kira-kira 20 peratus pengundi DUN berkenaan.
“SOP yang ketat jadi memang agak terhad nak berjumpa dengan pengundi. Mungkin saya baru jumpa 20 peratus sahaja pengundi secara kebetulan di tempat awam sebab nak berinteraksi dengan berceramah pun tidak boleh,” katanya.
PRN Melaka Sabtu ini bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru di DUN Rembia iaitu Zamri Pakiri (PH-PKR), Zamzuri Arifin (PN- Bersatu) dan dua calon bebas K Murali serta Sabarudin Kudus. – Malaysiapost

