NUJM bidas tindakan dua menteri buli wartawan

0
2

KESATUAN Kebangsaan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) membidas tindakan pemimpin dan ahli politik yang membuli wartawan ketika menjalankan tugas.

Presidennya, Farah Marshita Abdul Patah, berkata harus diingatkan bahawa selain bertanyakan soalan bagi menyalurkan maklumat, wartawan juga berperanan memastikan berlakunya semak dan imbang dalam pentadbiran negara.

“Sebagai seorang pemimpin adalah penting untuk menjelaskan tindakan yang ambil dalam pentadbiran bagi memastikan tujuan pelaksanaannya adalah adil dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Soalan yang diajukan oleh wartawan perlu diterima dengan minda yang terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dua pemimpin PAS iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim dikatakan ‘mengasak’ seorang wartawan wanita portal Free Malaysia Today yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor oleh Kerajaan Kedah.

Apabila ditanya oleh wartawan itu mengenai rasa khuatir kalangan masyarakat terhadap keputusan menyekat aktiviti perjudian, Idris menyoal sama ada beliau (wartawan) boleh menerima jika suaminya ‘kaki judi.

Manakala, Awang mahu tahu sama ada wartawan itu warga Malaysia selepas menegurnya kerana bertanya soalan dalam Bahasa Inggeris.

Mengulas lanjut, Farah Marshita berkata, sekiranya gagal menjawab soalan yang diajukan oleh wartawan, ia memberi maksud bahawa langkah atau pelaksanaan yang diambil tidak difikirkan secara matang.

“Jangan salahkan orang yang bertanya, jika anda tidak mempunyai jawapan kepada soalan kami. Jangan cuba untuk mengalihkan soalan dengan menyerang kekurangan, peribadi orang lain.

“Jangan gunakan kuasa untuk membuli, terutama wanita,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here