Isu judi: Idris, Awang digesa mohon maaf kepada wartawan – Yusmadi

0
2

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim digesa untuk memohon maaf kerana didakwa melakukan intimidasi terhadap wartawan yang bertugas.

Desakan itu dibuat Ahli Dewan Negara, Senator Mohd Yusmadi Yusoff yang menyifatkan tindakan Menteri dan Timbalan Menteri tersebut ketika menjawab soalan wartawan berhubung isu judi, menggambarkan sikap angkuh dan intimidasi terhadap media.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk memberi penjelasan dan bukan melakukan intimidasi terhadap wartawan yang melakukan tugasan mereka.

“Saya ingin menyatakan kekesalan saya terhadap sikap Menteri Agama Idris Ahmad dan Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim hari ni yang tidak menghormati pihak wartawan di dalam melakukan tugasan mereka.

“Pihak kerajaan sepatutnya mengambil peluang tersebut untuk memberi penjelasan dan bukan melakukan intimidasi terhadap wartawan yang melakukan tugasan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab wartawan untuk bertanyakan soalan yang mempunyai kepentingan awam.

“Peranan media di dalam sistem demokrasi adalah sama penting dan tidak keterlaluan saya katakan menjadi lebih penting di dalam sebuah negara yang semi autoritarian seperti Malaysia.

“Saya menggesa Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan memohon maaf kepada wartawan berkenaan segera,” katanya.

Semalam, portal FMT melaporkan, Ahmad dan Awang dilihat ‘mengasak’ seorang wartawan portal itu yang menyoal isu penutupan kedai nombor ekor Kerajaan Kedah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here