SEMUA calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh mempromosikan aspirasi mereka melalui saluran radio Melaka FM.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu telah pun dibincangkan bersama Ketua Pengarah Penyiaran dan Pengarah Penyiaran Negeri Melaka bagi membantu calon berkempen melalui siaran rasmi kerajaan.
“Sementara untuk radio Melaka FM saya benarkan bantu dengan cara mereka boleh diberikan ruang untuk datang ke studio atau membuat rakaman untuk disiarkan secara voice (suara).
“Kita memberi peluang kepada calon nyatakan dalam masa beberapa minit aspirasi mereka sekiranya mereka dipilih menjadi wakil rakyat di kawasan itu,” katanya selepas sesi temu bual dengan radio Melaka FM, hari ini.
Semalam, kerajaan membenarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyiarkan poster dan biodata calon yang bertanding pada PRN Melaka bermula hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, walaupun jumlah calon ramai, Melaka FM boleh menyelaras supaya semua calon mendapat peluang yang sama.
“Ia juga sebagai langkah tambahan bagi calon berkempen selain menggunakan media sosial berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk berkempen kali ini dengan mengambil kira capaian internet yang rendah di sesetengah kawasan,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar memberitahu, masih ramai calon yang belum memberikan maklumat untuk disiarkan di saluran televisyen RTM.
Katanya, mungkin kerana perkara berkenaan baharu diputuskan semalam dan calon tidak sempat melakukannya kerana sibuk berkempen.
Justeru katanya, beliau telah meminta pegawai termasuk setiausaha politik menghubungi setiap calon kerana tidak mahu ada yang tertinggal untuk berlaku adil kepada semua.
“Walaupun saya faham mereka tengah sibuk kecuali mereka tidak mahu itu kita tidak boleh memaksa ia satu option (pilihan) selain daripada kempen yang mereka jalankan melalui Facebook, Twitter dan sebagainya,” katanya. – Malaysiapost

