PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) sudah memberi bantuan lebih RM10,000 kepada pelakon, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy yang menjalani hukuman di Penjara Tanjung Gusta, Medan, Indonesia kerana kesalahan dadah.
Timbalan Presiden Seniman, Zuraini Kassim, berkata bantuan sejak lebih setahun lalu bagi tujuan perbelanjaan harian dan ubat-ubatan pelakon berusia 42 tahun itu di sana.
“Seniman masih bantu Benjy sejak tahun lepas lagi. Apabila kita dapat amaun kita hantar pada wakil di sana dan orang itu akan berikan sedikit demi sedikit. Sebagai contoh, kalau kita bagi RM3,000, orang itu akan berikan dia RM300 sebulan.
“Cuma, apabila berlaku Covid-19, memang ada kekangan untuk bantu dia. Tapi, mana yang sampai pada Seniman kita akan salurkan. Kiranya, dah banyak juga kita bantu iaitu lebih RM10,000.
“Dari segi keadaan, dia sihat. Cuma perbelanjaan agak terhad. Dalam penjara di sana dia memang perlukan duit untuk ‘survive’, bukan saja untuk perbelanjaan harian tapi juga perubatan kena beli sendiri,” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Zuraini berkata Benjy masih dikira ahli Seniman dan layak mendapat bantuan.
“Benjy pun masih dikira ahli, sebab itu kita bantu. Tapi itu lah, nak bantu banyak tak boleh juga, sebab kita ramai lagi ahli nak dibantu dan memerlukan.
“Insya Allah, kita juga akan usahakan untuk melawat dia apabila selesai kes Covid-19 ini. Tapi, kita kena kumpul dana dulu untuk ke sana. Sebab apabila ke sana, kita kena bawa sesuatu untuk dia,” katanya.
-Malaysiapost

