WALAUPUN sibuk dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal tetap meluangkan masa menyertai sambutan Hari Malaysia yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu.
Sambutan sederhana dihadiri kira-kira 500 orang terdiri daripada pegawai dan penjawat awam negeri itu, dibuat berpandukan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Yang turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
Sambutan anjuran kerajaan negeri itu adalah program rasmi memperingati sejarah pembentukan Malaysia menerusi penggabungan Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu pada 16 September 1963.
Mohd Shafie dalam ucapannya, berkata pembentukan Malaysia adalah satu manifestasi kesatuan rakyat pelbagai kaum di Sabah yang menerima idea pembentukan Malaysia sebagai satu cara membebaskan diri daripada penjajah.
Beliau menyatakan rakyat Sabah bertuah kerana pembentukan Malaysia 57 tahun yang lalu dilaksanakan secara aman tanpa halangan besar yang menjejaskan rakyat.
Jelasnya, ia berbeza dengan rakyat di negara lain yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk peperangan sebelum dapat menikmati kemerdekaan.
“Pembentukan Malaysia dapat direalisasikan tanpa ada pertumpahan darah. Kalau kita lihat di negara lain, mereka berdepan dengan pelbagai cabaran berat termasuk berlaku pertumpahan darah yang mengorbankan banyak nyawa, kanak-kanak dan wanita semata-mata mahu melepaskan negara daripada penjajah.
“Kita bersyukur di Malaysia kita dapat mencapai kemerdekaan atas landasan permuafakatan dan persefahaman tanpa mengira batasan kaum dan agama, untuk melihat sebuah negara yang dapat kita huni dalam keadaan makmur,” katanya.
Beliau berkata, semangat cintakan negara harus terus dipupuk bukan saja dengan mendengar lagu patriotik, malah perlu disemai dengan nilai positif yang menyokong ke arah kemakmuran negara dan perpaduan rakyat berbilang kaum.
Katanya, usaha pemimpin terdahulu untuk membebaskan negara daripada penjajahan agar generasi sekarang dapat menikmati kehidupan yang baik perlu diteruskan dengan usaha berterusan mengekalkan kemakmuran dan perpaduan sedia ada.
Jelasnya, nilai positif dan kasih sayang di antara rakyat berbilang kaum perlu terus dipupuk termasuk di antara Sabah dan Semenanjung.
“Walaupun kita dipisahkan oleh Laut China Selatan, kita tetap sayang rakan kita di Semenanjung. Nilai positif yang menjurus ke arah perpaduan harus disemai kepada anak-anak termasuk di sekolah,” katanya.
Mohd Shafie turut menyentuh mengenai sambutan Hari Malaysia pada kali ini yang terpaksa berdepan dengan ancaman Covid-19 dan menyifatkannya sebagai satu cabaran yang getir dalam memastikan kehidupan rakyat tidak terjejas.
Katanya, kerajaan negeri melaksanakan apa yang termampu bagi menangani isu itu termasuk melengkapkan barisan hadapan dengan peralatan keselamatan secukupnya untuk menjalankan tugas dan menyediakan pelitup muka serta cecair pembasmi kuman kepada orang ramai serta sekolah. -Malaysiapost

