LELAKI yang memukul seorang pemandu kereta dengan topi keledar di sebuah stesen minyak di Jalan Duta, Kuala Lumpur, seperti yang tular di media sosial semalam sudah ditahan polis.
Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata suspek yang bekerja sebagai pemandu peribadi berusia 38 tahun itu ditahan semalam.
Menurutnya, lelaki terbabit mempunyai satu rekod jenayah dadah pada 2010 dan masih dikehendaki polis bersabit kes terbabit.
“Hasil saringan ujian air kencing yang dijalankan ke atas suspek didapati negatif dadah.
“Dalam kes ini, polis merampas pakaian yang dipercayai digunakan oleh suspek semasa kejadian, sebuah motosikal jenis Modenas Kriss MR3 dan topi keledar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Amihizam berkata, suspek berasa tidak puas hati kerana kereta mangsa mendahului motosikalnya dan kemudian bertindak memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar.
“Mangsa dalam kes ini merupakan lelaki berumur 64 tahun yang telah menerima rawatan di hospital dan dibenarkan keluar wad pada hari ini.
“Keterangan lanjut mangsa akan dirakam apabila mangsa pulih dan bersedia untuk memberi keterangan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan suspek direman tiga hari hingga Selasa ini.
“Saksi awam lain yang berada di tempat kejadian diminta dan mempunyai maklumat berhubung insiden ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang lelaki mengasari seorang pemandu kereta dengan menggunakan topi keledar di stesen minyak di Jalan Duta.
Insiden berkenaan tular menerusi video berdurasi 43 saat yang dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter pada jam 11.31 pagi, semalam. – Malaysiapost

