PAKATAN Harapan (PH) yakin dapat menawan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
Ketua Penerangan PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, keyakinan itu berdasarkan congakan andaian DAP memenangi semua lapan kerusi yang mereka tandingi, lima kerusi PKR dan tiga kerusi Amanah.
Pada PRN Melaka ini, DAP bertanding di DUN Gadek, Pengkalan Batu, Ayer Keroh, Kesidang, Duyong, Bandar Hilir, Bemban dan Kota Laksamana, manakala PKR mempertaruhkan nasib di DUN Rembia, Rim, Machap Jaya, Kelebang dan Paya Rumput serta tiga lagi kerusi Amanah termasuk salah satunya Bukit Katil.
Shamsul Islandar yang turut bertanding di DUN Paya Rumput, dia yakin PH dalam keadaan selesa berhubung perkembangan 16 kerusi itu, sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri sekali lagi selepas dijatuhkan tanpa pilihan raya pada tahun lalu.
Pada 2018, PH meletakkan Shamsul Iskandar di DUN Rim namun gagal memenangi kerusi berkenaan.
“Dulu saya kalah dengan 500 undi lebih. Sekarang PH letak Ketua Pemuda PKR Melaka (B Prasanth Kumar).
“Memang ia tidak akan mudah tapi dengan pelbagai isu yang ada pada calon parti lawan, saya percaya dia ada potensi untuk menang,” katanya dipetik wawancara khas, Malaysiakini, hari ini.
Sementara itu, Shamsul Iskandar turut mengulas mengenai langkah PH mencalonkan bekas Adun Umno Datuk Seri Idris Haron dalam usaha mereka memenangi sebanyak mungkin kerusi.
Katanya, walaupun banyak pihak melontarkan rasa tidak puas hati, Idris tetap memberi nilai tambah kepada PH dan mencerahkan lagi usaha mereka menawan kerusi Asahan.
“Kita tahu kemasukan Idris ni sepatutnya memberikan kelebihan kepada PH iaitu boleh menjadi pertaruhan untuk merampas kerusi yang gagal kita menangi pada PRU lalu,” katanya. – Malaysiapost

