ISU perumahan mampu milik, kesesakan dan pembangunan Dataran Klebang adalah antara fokus utama yang menjadi manifesto calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Datuk Lim Ban Hong.
Menurutnya, beliau juga telah mengenal pasti lokasi projek perumahan terbengkalai di DUN berkenaan yang tergendala ketika peralihan kerajaan pada 2018 untuk diteruskan semula.
“Saya terkejut apabila mengetahui sebuah projek saya usahakan ketika menjadi wakil rakyat DUN Klebang pada 2013 hingga 2018 telah terbengkalai dan sepatutnya siap dua tahun lalu.
“Sekiranya diberi mandat pada 20 November ini, rancangan saya untuk membawa lebih banyak pembangunan rumah mampu milik dan projek perumahan rakyat (PPR) khususnya untuk golongan muda yang baharu memulakan kehidupan berkeluarga,” katanya ketika ditemui media di sebuah restoran di Klebang di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Pengerusi MCA Melaka itu berkata, beliau juga akan melihat semula status beberapa projek untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas dan ekonomi peniaga di kawasan tumpuan pelancongan itu sekiranya diberi mandat.
Menurut Ban Hong yang juga bekas ADUN kawasan berkenaan pada 2013, perancangan tersebut merangkumi pembinaan jalan di pesisir pantai yang dijangka dapat menyelesaikan masalah kesesakan trafik.
“Dari sudut keindahan dan ekonomi penduduk, saya akan dapatkan maklumat daripada pihak Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) apakah status deretan bas dijadikan restoran yang dilihat sudah tidak digunakan lagi.
“Kita mahu kawasan ini diperindahkan dan pada masa sama ia membolehkan usahawan ini berniaga yang akan menyumbang kepada ekonomi negeri,” katanya. – Malaysiapost

