PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka bukan medan untuk membuat uji kaji atau eksperimen bagi menukar kerajaan seperti yang dilakukan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, ia kerana uji kaji yang dibuat sebelum ini ternyata silap hingga menyebabkan negara dan negeri menjadi tidak stabil.
Menurutnya, ketidakstabilan itu telah menyaksikan banyak perkara besar yang berlaku terhadap rakyat, negeri dan negara.
“PRN Melaka sudah memasuki ‘separuh masa’ dan saya ingin memberi peringatan kepada jentera Barisan Nasional (BN) untuk separuh masa kedua ini perlu tingkatkan dalam segala aspek dengan memenuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Ini bukan medan untuk kita membuat uji kaji..bukan medan eksperimen, jadi kepada jentera ahli, penyokong dan pengundi BN kita jangan buat eksperimen dengan mencuba-cuba memilih orang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika melawat Pusat Media PRN Melaka, hari ini.
Ahmad berkata, ramai sebelum ini menjadikan PRU-14 sebagai medan uji kaji dan percubaan bagi menukar kerajaan hingga mengakibatkan maka negeri dan negara tidak stabil dalam tempoh yang begitu lama.
“Ketidakstabilan ini menyebabkan banyak perkara yang berlaku antaranya tiga Perdana Menteri dalam masa tiga tahun, dua Ketua Menteri dalam masa sama.
“Oleh sebab itulah tema kempen BN adalah kestabilan demi kemakmuran. Kita tidak mahu pilihan raya dijadikan uji kaji yang tinggi kos politiknya kepada rakyat, negeri dan negara,” katanya.
Ditanya mengenai peratusan kemenangan bagi calon-calon BN, beliau berpuas hati dengan maklum balas daripada aktiviti turun padang yang dilakukannya setakat ini.
“Saya telah pergi banyak tempat dan bertemu dengan calon. Setakat ini dari hari ke hari saya rasa bertambah lega dari segi keyakinan untuk BN menangani PRN kali ini.
“BN masuk pilihan raya ini untuk menang bagi mencapai kestabilan demi kemakmuran untuk manfaat rakyat,” katanya.
Menurutnya, walaupun 24 daripada 28 calon BN adalah wajah baharu yang kali pertama bertanding, namun mereka bukan orang baru dalam politik dan pantas menyesuaikan diri dengan kesibukan menjadi calon.
Sementara itu, bagi kerusi yang ditandingi MCA dan MIC di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban serta Gadek, beliau berharap ia dapat dimenangi calon daripada komponen BN berkenaan.
“Saya berharap Bemban dan Gadek itu boleh kita menangi sebab di situ sebelum ini ada usaha supaya dikembalikan kepada Umno namun selepas penerangan jentera di dua kawasan itu bersetuju diberikan kepada calon MCA dan MIC
“Mula-mula ada rasa tidak puas hati dikalangan jentera Umno, tetapi ia tamat dua hari selepas pemilihan calon dan mereka menerima keputusan pucuk pimpinan parti,” katanya. – Malaysiapost

