Kena kompaun bukan sebab pakai baju logo parti – Polis

0
3
Polis Di Raja Malaysia

KOMPAUN RM4,000 yang dikenakan terhadap individu seperti tular di media sosial bukan kerana disebabkan pakaiannya ada logo parti, sebaliknya kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali yang berkata, kompaun itu dikeluarkan selepas polis mendapati individu berkenaan terbabit dalam program tinjauan mesra atau ‘walkabout’.

Katanya, kompaun dikeluarkan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Dalam kes ini, dikesan terdapat pelanggaran SOP iaitu tiada penjarakan fizikal, selain adanya tinjauan mesra yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh berkempen.

“Untuk isu itu bukan polis saman orang pakai baju parti, tetapi penganjur atau pengikut yang melanggar SOP ketika mengikuti calon yang memakai baju lambang Pakatan Harapan (PH). Bukan orang yang pakai baju lambang parti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Majid menjelaskan, kompaun dikeluarkan berdasarkan hantaran yang dibuat seorang pengguna laman Facebook yang memuat naik gambar berkumpul di kedai makan.

“Kejadian dikatakan berlaku pada 10 November dan dikesan oleh pasukan yang melakukan pemantauan 24 jam membabitkan pelanggaran SOP kempen pilihan raya.

“Susulan itu, pasukan pemantau membuat laporan pada jam 6.44 pagi sebelum kertas siasatan dibuka dan mereka yang terbabit dipanggil untuk diambil keterangan,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Majid berkata, mana-mana pihak atau pemimpin yang tidak berpuas hati dengan tindakan yang diambil itu dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul atau tampil membuat laporan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here