Rafidah halang hasrat Nazir sokong PH secara terbuka

0
3

DATUK Seri Nazir Razak mengakui pernah berhasrat mengumumkan secara terbuka menyokong Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), lalu. 

Bagaimanapun, hasrat adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu terbantut susulan menerima nasihat daripada Datuk Seri Rafidah Aziz  ketika itu. 

Rafidah tidak menggalakkan perkara itu kerana ia boleh membuatkan ibu mereka Toh Rahah Noah sedih, katanya di dalam buku biografinya yang baru diterbitkan. 

Justeru, bekas Pengerusi CIMB itu berkata, sokongannya terhadap PH terpaksa diberikan di belakang tabir.

Mengulas lanjut, Nazir mengaku terpikat dan cenderung terhadap PH berbanding menyokong Barisan Nasional (BN) yang ketika itu dipimpin oleh abangnya. 

Beliau berkata, ia bermula selepas munculnya pendedahan skandal 1MDB  dan keengganan Najib yang mengetepikan nasihat dan amarannya. 

Bagaimanapun, Nazir menjelaskan, beliau pernah berbincang dengan isteri, Datin Seri Azlina Aziz untuk mengumumkan sokongan secara terbuka.

“Dia sokong saya letak jawatan sebagai pengerusi CIMB bagi membolehkan saya sokong kempen pilihan raya PH,” katanya dalam memoir itu. 

Pada Januari 2014, Nazir menulis berkaitan legasi bapanya yang berjimat-cermat dan bertanggungjawab dengan dana awam, yang diharapkannya menjadi peringatan kepada Najib dalam isu 1MDB.

Nazir berkata, susulan penyiaran artikel itu di akhbar, beliau, isteri dan anak-anak menjadi mangsa serangan tentera siber yang dipercayainya datang daripada kem Najib. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here