Jangkitan Covid-19 dalam kolam renang? Ini patut anda tahu..

0
2

SEMPENA cuti penggal persekolahan 2021 yang bakal bermula Disember ini pastinya ibu bapa tidak melepaskan peluang merangka percutian menarik untuk seisi keluarga, tatkala kerajaan sudah membenarkan pergerakan merentas negeri.

Pelbagai destinasi percutian menjadi pilihan orang ramai termasuk kawasan peranginan tanah tinggi, pulau yang indah, lokasi bersejarah, taman rekreasi dan tema air.

Bercakap mengenai aktiviti air atau mandi di kawasan kolam renang, kebimbangan mengenai jangkitan Covid-19 terus menerpa kerana seperti sedia maklum ia merebak menerusi titisan cecair dari hidung dan mulut individu yang dijangkiti virus tersebut.

Bagaimanapun, ibu bapa tidak perlu khuatir berikutan kemungkinan risiko berlaku penularan Covid-19 kerana perkongsian kolam renang didapati sangat rendah.

Kenyataan tersebut dipetik daripada Dr Muhammad Amir Yunus yang juga saintis Virologi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT), bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurut beliau, partikel virus SARS-CoV-2 didapati sangat tidak stabil kepada klorin yang digunakan di kebanyakan kolam renang komersial.

Katanya, jika pun berlaku penularan ia kemungkinan membabitkan lokasi kolam renang yang berpunca melalui sebaran titisan udara individu yang dijangkiti kerana kesesakan dan risiko bertambah apabila tidak memakai pelitup muka.

“Kaedah utama penularan SARS-Cov-2 ialah melalui udara, titisan cairan pernafasan dan aerosol.

“Penularan melalui sentuhan pada permukaan tercemar ada direkodkan tetapi peratusan kebolehan penularan melalui kaedah ini lebih rendah berbanding kaedah utama,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Dalam pada itu, sebuah ujian yang dilakukan Imperial College London pada April lalu melaporkan mengenai kajian berskala kecil mendapati air kolam renang mampu menyahaktif virus SARS-Cov-2.

Kajian oleh Prof Wendy Barclay itu dilakukan dengan mencampurkan virus SARS-CoV-2 dengan air kolam renang berklorin, menyebabkan ia tidak mampu menjangkiti sel dalam tempoh 30 saat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here