PRN Melaka: Nilai statistik Covid-19 sebelum mengundi – Kit Siang

0
1

VETERAN DAP, Lim Kit Siang meminta pengundi menilai semula kepada prestasi kerajaan mengendalikan Covid-19 dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Ki Siang berkata, pengundi boleh membuat penilaian itu dengan melihat semula statistik Covid-19 negara.

Beliau berkata, perkara itu penting kerana wabak Covid-19 memberikan kesan kepada semua aspek kehidupan, bukan sahaja di Melaka, tetapi di seluruh negara.

“Ia termasuk ekonomi, peluang pekerjaan, persekolahan dan universiti, pergerakan, kehidupan peribadi rakyat sama ada dalam bidang sukan, rekreasi, sosial, atau kehidupan berkeluarga.

“Tidak dapat dibayangkan apabila pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) cuba untuk mengasingkan kesan pandemik Covid-19 ini daripada kempen mereka sedangkan ekonomi dan kehidupan sosial di Melaka terjejas secara terus akibat daripada wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata, ketika PRN Melaka berlangsung pada 20 November ini negara bakal mencatat 2.6 juta kes terkumpul dan 30,000 kematian akibat Covid-10.

“Sedangkan Korea Selatan, sebuah negara dengan jumlah penduduk yang lebih ramai berbanding dengan Malaysia, berada di tempat ke-73 dari jumlah kes terkumpul dengan 388,359 kes dan 3,033 kematian akibat Covid-19.

“Malaysia kini berada di tempat ke-20, dengan 2,528,821 kes dan 29,535 kematian akibat Covid-19,” katanya.

Kit Siang berkata, apa yang membimbangkan adalah dalam tiga hari lalu, Malaysia seperti ‘hilang kawalan’ dengan peningkatan kes harian, 6,243 kes pada 9 November dan 6,323 kes semalam.

Sebaliknya, Kit Siang berkata, Indonesia mencatatkan rekod 436 kes sahaja semalam — hari ke-28 berturut-turut negara tersebut mencatatkan angka dalam julat tiga angka, berbanding dengan 6,323 kes dan 49 kematian di Malaysia semalam.

“Bolehkah sesiapa di Kementerian Kesihatan atau dalam kerajaan (Datuk Seri) Ismail Sabri menjelaskan mengapa Malaysia mencatatkan prestasi yang sebegitu buruk sekali berbanding dengan Indonesia dalam mengendalikan wabak ini.

“Ini adalah petanda serius yang selepas kalah dengan Taiwan, Korea Selatan, SIngapura, dan Vietnam, kini kita sedang kalah dengan Indonesia pula?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here