Kita siapkan kain kafan untuk kuburkan mereka – Tok Mat

0
4

Syaf Ziyad

BARISAN Nasional (BN) tetap yakin mampu menguburkan parti lawan biarpun peratusan keluar mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini rendah.

Keyakinan itu disuarakan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berdasarkan kajian sikap dilakukan jentera wanita Jalinan Rakyat (JR) terhadap peratusan penyokong tegar BN atau ‘pengundi putih’ parti.

“Syaratnya kita punya jentera Jalinan Rakyat (JR) semuanya kena keluarkan seramai mungkin pengundi putih yang telah kita kaji sikapnya, itu penting.

“Tak guna kita kata pengundi putih ada 80 atau 70 peratus tapi mereka tak keluar mengundi.

“Banyak orang tak akan mengundi, lagi banyak orang tak keluar lagi baik untuk kita tapi dengan syarat kita keluarkan seramai mungkin pengundi putih,” katanya ketika berucap di hadapan jentera kempen BN di Bukit Piatu malam tadi.

Turut hadir calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Noordin.

Mohamad yang juga Pengarah Pilihan Raya BN berkata, gabungan itu perlu berusaha memastikan kemenangan dalam PRN 20 November ini kerana ia akan menjadi penentu sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Jadi mahu atau tidak, kita mesti menang, ada orang nak lihat Umno dan BN terkubur di sini, maka eloklah kita siapkan pula kain kafan untuk kuburkan mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here