Dr Nur Amalina terima anugerah dalam Women of the Future Award 2021

0
3
Foto Twitter Dr. Amalina

PELAJAR cemerlang meraih 17A1 pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 yang kini bergelar doktor perubatan, Dr Nur Amalina Che Bakri menerima anugerah di peringkat antarabangsa dalam Women of the Future Award 2021, dua hari lalu.

Dr Nur Amalina menerusi ciapan di Twitter meluahkan rasa amat berbesar hati menjadi antara penerima anugerah berdasarkan pencapaian kariernya dalam bidang perubatan.

“Saya amat berbesar hati untuk dianugerahkan ‘Highly Commended’ dalam kategori Profesion di UK Women of the Future Award 2021.

“Sangat merendah diri kerana dikelilingi oleh ramai wanita muda di Britain, pelopor dalam bidang perubatan, undang-undang, teknologi, STEM, sukan dan banyak lagi,” katanya dalam ciapan itu.

Dr Nur Amalina turut memuat naik beberapa gambar ketika hadir majlis tersebut yang berlangsung di London Hilton On Park Line.

Selepas menamatkan pengajian di Universiti Edinburgh pada Julai 2013, Dr Nur Amalina melanjutkan pengajian dalam Masters of Philosophy (MPhil) in Translational Medicine and Therapeutics (TMAT) di Universiti Cambridge.

Beliau menjalani latihan sebagai doktor pelatih di Hospital Universiti Cambridge selama dua tahun sebelum memulakan latihan sebagai seorang doktor pakar bedah.

Seterusnya, beliau meneruskan pengajian di Imperial College London pada Ogos 2015 untuk menjadi seorang doktor pakar bedah dan felo akademik klinikal di bawah naungan NHS Healthcare Trust.

Beliau sedang membuat PhD dalam bidang perubatan di Imperial College London di bawah tajaan Imperial College dan National Institute Health Research (NIHR) UK sambil bekerja di hospital terkemuka di London.

Sekitar tahun 2019, Dr Nur Amalina antara insan utama berusaha untuk membawa bayi berusia sembilan bulan Ainul Mardhiah menjalani pembedahan membuang tumor seberat 200 gram di bahagian mulut di Hospital Kanak-Kanak London.

Usaha kerasnya itu mendapat pujian ramai dan menerima penghargaan tinggi daripada rakyat negara ini.

April lalu, Dr Nur Amalina berkahwin dengan jejaka Inggeris, Alexander Charles dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Masjid Central London. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here