Kekurangan kuatkan azam jentera BN menangi PRN

0
2

BARISAN Nasional (BN) tetap tidak lemah semangat walaupun berdepan pelbagai kekurangan dan kelemahan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kali ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebaliknya kekurangan itu menguatkan lagi keazaman jentera parti bekerja kuat memastikan kemenangan di semua 41 kerusi ditandingi BN.

Jelasnya, kekurangan dan kelemahan itu juga tidak menghalang BN terus memperjuangkan hak rakyat dan memberikan khidmat yang terbaik demi kepentingan rakyat.

“Kita tahu calon-calon BN merupakan calon yang ‘underdog’ dan kita juga sedar bahawa kita bergerak tanpa dana, tanpa kemudahan kerana kita bukan sebuah kerajaan tetapi hanya sebahagian dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita juga sedar bahawa semua kelemahan yang ada di pelbagai aspek tidak akan menyebabkan kita lemah semangat untuk berjuang sebaliknya ia menjadikan kita kuat bersemangat untuk rakyat,” katanya ditemui selepas Program Ramah Mesra bersama Pemimpin di Kampung Pasir Putih, Putatan, Sabah, malam tadi.

Ahmad Zahid berkata, semua cabaran yang dihadapi dianggap sebagai ujian untuk berdepan dengan dugaan ke bagi memenang hati rakyat pada PRN Sabah kali ini.

“Bagaimanapun kita terima hakikat bahawa kita tidak akan berjaya 100 peratus jika tidak mendapat sokongan rakyat secara keseluruhannya.

“Namun, kami yakin kerinduan yang mendalam di kalangan pengundi BN sangat besar dan kita khususnya di Sabah tidak akan pernah mengecewakan rakyat Sabah.

“Saya yakin kemenangan akan berpihak kepada kita,” katanya. -Malaysiapost