DBP: Ucapan Tuan Ibrahim di Glasgow buka lembaran baharu bahasa Melayu

0
4
tuan ibrahim tuan man

DEWAN Bahasa dan Pustaka menghargai usaha Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berucap dalam bahasa Melayu pada persidangan antarabangsa di Glasgow, Scotland, semalam.

Menerusi sepucuk surat, Pengerusinya Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan menyifatkan ucapan Tuan Ibrahim berkenaan sebagai lembaran baharu dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ASEAN dan digunakan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Menurutnya, usaha yang dilakukan sejak 20 tahun lalu itu belum dapat dicapai kerana banyak bergantung kepada keputuan pelaksanaan oleh kerajaan.

“Dengan perkembangan kini, saya positif bahawa bahasa Melayu dapat ditingkatkan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam surat itu.

Awang turut mengucapkan tahniah kepada Tuan Ibrahim yang mengangkat martabat bahasa kebangsaan dalam forum antarabangsa selaras semangat mendukung maruah dan kedaulatan negara.

Semalam, Tuan Ibrahim tampil berucap dalam bahasa Melayu pada Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26).

Beliau mengetuai delegasi Malaysia untuk menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di UNFCCC COP-26 yang sedang berlangsung bermula 31 Oktober hingga 12 November ini.

Malaysia dijangka menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global.

Kemunculan Tuan Ibrahim itu sekali gus menutup mulut banyak pihak yang membidasnya kerana tidak hadir ke acara berkenaan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengkritik beliau tidak hadir pada persidangan itu memandangkan rakan sejawatan Tuan Ibrahim dari negara lain sudah berada di COP26 untuk berbincang cara menangani perubahan iklim.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here