48 kes baharu VOC dikesan

0
2
dr. hisham

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 48 lagi kes baharu yang kesemuanya varian membimbangkan (VOC) Delta (B.1.617.2) setakat hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes berkenaan dikesan hasil kajian berterusan yang dijalankan oleh Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menurutnya, kes baharu berkenaan menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah sebanyak 3,830 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan itu, 3,810 kes membabitkan VOC dengan 20 kes ialah VOI,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, sehingga kini bagi VOC terdapat sebanyak 3,570 kes varian Delta; 226 kes varian Beta; dan 14 kes varian Alpha.

“Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak 13 kes varian Theta; empat kes varian Kappa; dan tiga kes varian Eta,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes VOC baharu itu dikesan di tiga negeri iaitu 34 kes dikesan di Pulau Pinang, Pahang (12) dan Perlis (dua).

Sementara itu, beliau berkata terdapat empat kluster baharu dilaporkan hari ini membabitkan tiga kluster tempat kerja dan satu kluster pendidikan yang dikesan di Selangor, Johor, Pahang dan Kuala Lumpur.

“Kluster-kluster tempat kerja berkenaan adalah Kluster Industri Perusahaan Lorong Perak Tiga (Kuala Langat, Selangor) dengan 13 kes; Kluster Industri Jalan Peserai (Batu Pahat, Johor) dengan 19 kes; dan Kluster Jalan Gambut Kuantan (Kuantan, Pahang) dengan lapan kes.

“Kluster pendidikan membabitkan Kluster Jalan Setiawangsa Utama (Titiwangsa, Kuala Lumpur) dengan enam kes dilaporkan,” katanya.

Menurutnya, keseluruhan sebanyak 5,828 kluster dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 288 daripadanya kluster aktif dan 5,540 kluster lagi sudah tamat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here