PH minta SPR nilai semula SOP PRN Melaka

0
3

PAKATAN Harapan (PH) memohon agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menilai semula prosedur operasi standard (SOP) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilihat sangat ketat terhadap parti tertentu.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil, berkata keadaan itu berlaku ketika mesyuarat Majlis Presiden PH di Hotel LaCarista, Melaka, semalam yang diserbu polis dan petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Menurutnya, berdasarkan SOP sedia ada untuk PRN Melaka, mesyuarat parti politik dibenarkan tetapi tindakan petugas KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) datang mengambil gambar mesyuarat sama sekali bertentangan dengan peraturan itu.

“Saya bersama-sama dengan Ketua Setiausaha PH, Pengerusi PH dan pimpinan yang lain terkejut bila tiba-tiba pintu dalam bilik mesyuarat itu dibuka dan beberapa pegawai yang saya difahamkan daripada KKM dan PDRM cuba untuk serbu masuk dan mengambil gambar kami sedang bermesyuarat.

“Ini adalah satu tindakan yang hanya kita dengar berlaku kepada PH,” katanya dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, meminta Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu turun sendiri ke Melaka dan lihat sendiri bagaimana SOP ini berjalan atau sekadar sebagai satu kekangan kepada parti politik melaksanakan demokrasi.

“Persoalannya adakah SOP ini dirangka menangani jangkitan Covid-19 atau sebenarnya menghalang demokrasi. Ini persoalan besar yang mesti dijawab, demokrasi bukan virus, Covid-19 adalah virus.

“Jadi jangan laksanakan SOP yang menekan, menindas parti-parti yang bertanding,” katanya.

Fahmi turut mencadangkan SPR dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia membenarkan penggunaan Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP Fund) bagi membolehkan pusat internet dibuka sementara pada PRN Melaka.

Menurutnya, ia berikutan ada kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan internet dan kempen digital melalui norma baharu PRN Melaka tidak dapat dilaksanakan jika masih ada kawasan yang tiada akses Internet. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here