JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang beroperasi di sebuah taman perumahan di Pekan Nanas, Johor dalam ‘Op Lion Rock’ pada Sabtu lalu.
Pengarah JSJN Datuk Razarudin Husain, berkata empat serbuan dijalankan dalam operasi bermula 8.30 pagi dengan kerjasama Polis Kontinjen Johor membabitkan satu serbuan di Kajang, Selangor; satu serbuan di Gelang Patah dan dua serbuan di Pekan Nanas, Johor.
Menurutnya, serbuan berkenaan berjaya menahan 12 suspek membabitkan 11 lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan yang kesemuanya berusia lingkungan 36 hingga 53 tahun.

“Walaupun rampasan dadah hanya berjumlah 20.41 kilogram (kg), tetapi sindiket ini adalah sindiket antarabangsa yang menghantar dadah jenis heroin ke Hong Kong dengan dua daripada suspek ditahan adalah Ahli kumpulan kongsi gelap yang aktif di Johor.
“Dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1.9 juta dan ini bukan kali pertama sindiket ini membuat penghantaran dadah ke Hong Kong kerana daripada risikan serta maklumat mendapati ini adalah penghantaran kali kesembilan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.
Beliau berkata, satu daripada penghantaran sindiket berkenaan dapat dipintas oleh pihak berkuasa Hong Kong dan nilai keseluruhan dadah yang diseludup ke negara terbabit dianggarkan tidak kurang RM3 juta.
Menurutnya, berdasarkan maklumat terdapat permintaan dadah jenis methamphetamine juga daripada sindiket ini untuk di seludup ke Australia, namun berjaya digagalkan dengan operasi kali ini.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan menghantar makanan sejuk beku iaitu ikanmenggunakan MAS Kargo dan dadah berkenaan disembunyikan di bawah lapisan air batu serta makanan laut berkenaan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Polis percaya sindiket ini sudah beroperasi sejak akhir tahun 2020 dan menjadikan sebuah taman di Pekan Nanas sebagai pusat operasi membungkus sebelum menghantarnya dengan penerbangan kargo,” katanya.
Razarudin berkata, kesemua suspek kini direman sehingga 13 November ini dan ada kemungkinan akan mohon lanjutan reman bagi melengkapkan siasatan.
“Sindiket ini dipercayai mendapat bekalan dadah daripada ‘Segi Tiga Emas’ di Utara tanah air dan kita sudah kenal pasti pihak pembekal serta sedang berusaha menjalankan operasi lanjutan.
“Maklumat yang diperoleh daripada tangkapan ini kita sudah salurkan kepada pihak berkuasa di Hong Kong dan ini kali pertama JSJN kesan sindiket dadah menggunakan modus operandi sebegini,” katanya.
Beliau berkata, keseluruhan rampasan yang dibuat termasuk dadah dan pelbagai barangan rampasan lain seperti kenderaan dan sebagainya dianggarkan bernilai RM2.7 juta. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook/Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM

