PRN Sabah: PAS ulangi pendirian sokong GRS

0
2

PAS mengulangi pendiriannya untuk memberi sokongan dan membantu semua calon mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata pihaknya sudah mengerahkan seluruh jentera PAS membantu calon yang ditampilkan oleh gabungan berkenaan.

“Pada PRN Sabah kali ini, saya nak beri jaminan bahawa seluruh pengundi dan penyokong PAS akan memberi undi kepada calon BN (Barisan Nasional) dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) serta semua blok yang mewakili kita semua.

“Jaminan ini adalah sebagai satu pengesahan bahawa inilah sikap yang diambil oleh parti dalam PRN kali ini,” katanya ketika berucap pada Program Ramah Mesra bersama Pemimpin di Kampung Pasir Putih, Putatan, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; calon BN Tanjung Keramat, Shahelmey Yahya dan calon Perikatan Nasional (PN) Petagas, Datuk Arsit Sedi.

GRS ialah nama gabungan mewakili kerjasama BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang akan digunakan selepas memenangi PRN Sabah, 26 September ini seperti diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya yakin kekuatan yang dihasilkan melalui gabungan itu di Sabah mampu mengikut jejak kerajaan PN di peringkat Pusat.

“Saya datang bertemu dengan petugas parti dan menyampaikan arahan parti bahawa seluruh petugas hendaklah turun membantu calon kita yang bertanding.

“Dalam situasi pertembungan yang sangat kritikal ada satu kawasan sampai enam sampai tujuh calon, bilangan 100 hingga 200 undi, jumlah berapa sekalipun sangat penting.

“Sebab itu kita perlu muafakat dan ini perlu didokong bersama untuk kembali kepada agenda perubahan yang besar,” katanya.

Katanya, walaupun PAS tidak meletakkan calon pada PRN Sabah, parti itu tetap komited untuk membantu bagi memastikan kemenangan berpihak kepada pasukan yang disertainya. -Malaysiapost