Syaf Ziyad
MEMFOKUSKAN penjaja agar Duyong menjadi ‘syurga’ ekonomi bertaraf bandar raya antara janji calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong jika dipilih sebagai wakil rakyat, seterusnya BN diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November ini.
Menurut Mohd Noor Helmy Abdul Halem, pelbagai rancangan telah dirangka sejak lebih setahun lalu di DUN itu yang mempunyai 18,237 pengundi untuk meningkatkan taraf ekonomi hidup dan kesejahteraan hidup mereka.
Katanya, Duyong boleh dianggap sebagai ‘syurga makanan’ justeru ia juga perlu menjadi ‘syurga ekonomi’ selepas era pasca pandemik Covid-19 yang menyaksikan semakin ramai pekerja hilang majikan dan cuba berniaga untuk kelangsungan hidup.
“Ditambah pula usaha kerajaan memperkenal Melaka Bebas Niaga selama setahun lebih menonjolkan Duyong menjadi pusat ekonomi baharu kepada peniaga-peniaga kecil ini.
“Jadi saya harap, dengan segala apa yang telah saya rancangkan ini selama lebih setahun menjadi Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), ekonomi rakyat Duyong dapat terus diperkasa,” katanya ketika ditemui selepas bersarapan di Kampung Duyong Tengah.
Selain itu Mohd Noor Helmy yang juga Ketua Pemuda Umno Kota Melaka berkata, masalah banjir kilat yang menjejaskan hampir 5,000 penduduk kampung dan taman di DUN itu, antara permasalahan yang perlu segera diselesaikan.
“Saya yakin sekiranya BN diberi mandat, banjir kilat yang kerap berlaku setiap kali hujan lebat akan dapat diatasi segera.
“Kita tidak mahu lagi episod demi episod banjir berulang menyebabkan rakyat semakin mual dengan janji-janji ditaburkan sebelum ini,” katanya. – Malaysiapost

