Polis beri amaran, tidak faham SOP bukan alasan langgar peraturan PRN

0
3

TIDAK faham atau tidak jelas dengan prosedur operasi standard (SOP) bukan alasan untuk parti politik melanggar peraturan atau undang-undang yang ditetapkan sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, ini kerana taklimat mengenai penyelarasan SOP dan permit telah diadakan bagi memberi penjelasan dan kefahaman berkaitan perkara itu dengan dihadiri Majlis Keselamatan Negera (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan wakil-wakil calon serta parti politik.

“Kita juga dapati beberapa perkara yang kabur dalam pelaksanaan SOP dapat dijelaskan dan saya berharap pihak-pihak yang berkempen dalam pilihan raya boleh melaksanakan tanggungjawab mereka dengan mengikut peraturan ditetapkan.

“Penjelasan ini untuk mencari satu titik persamaan di antara tindakan-tindakan yang diambil oleh pihak penguatkuasaan dan kepatuhan SOP yang akan diambil pihak parti politik dan perjumpaan bersama mereka itu dilihat berjaya menyelesaikan beberapa kekeliruan berkenaan SOP,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas taklimat di Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka di Ayer Keroh, hari ini.

Abdul Majid berkata, segala SOP dan peraturan yang ditetapkan MKN, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan SPR bertujuan mengelakkan PRN Melaka menjadi pencetus penularan Covid-19 dan pasukan keselamatan bertanggungjawab memastikan kesihatan serta ketenteraman awam terjamin.

Sementara itu, beliau menegaskan parti-parti politik dan calon bertanding perlu memohon permit untuk menggunakan lori atau van yang dipasang alat pembesar suara untuk bergerak di jalan raya ketika berkempen.

Katanya, selain itu mereka juga perlu mematuhi syarat ditetapkan seperti tidak boleh berhenti atau membuat persinggahan di mana-mana tempat serta mengikut masa ditetapkan.

“Setiap parti perlu mendapatkan permit iaitu satu kenderaan untuk satu permit yang digunakan mereka dan pihak polis akan luluskannya dengan menetapkan masa dibenarkan untuk berada di jalan raya iaitu maksimum dua jam dan tidak boleh bergerak sesuka hati.

“Tujuan permit ini dikeluarkan untuk mengawal ketenteraman dan kesihatan awam. Setakat ini kita hanya menerima dua permohonan daripada parti politik untuk permit tersebut,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here