[PARLIMEN] “JANGANLAH ada di antara kita hanya berpeluk tubuh. Tahu menuding jari, mencari salah orang lain seolah-olah kita sahaja yang betul,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin
Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) turut mengesa semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk memastikan langkah pemulihan negara berjaya.
Katanya, pendekatan bersepadu adalah perlu dengan melibatkan peranan semua pihak agar negara dapat mencari jalan keluar daripada cabaran krisis kesihatan Covid-19.
“Seperti yang selalu saya tekankan di sini pendekatan bersepadu seluruh negara atau ‘approach’ perlu dihayati dan dijayakan oleh setiap seorang daripada rakyat negara yang tercinta ini.
“Masing-masing perlu mengambil tanggungjawab untuk memulihkan negara ini secara bersama-sama,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, adalah penting pada waktu ini kerajaan menambah baik fasiliti dan menjaga kebajikan petugas kesihatan, di samping meneroka industri penghasilan ubat-ubatan berasaskan sumber asli negara.
“Selepas melalui episod getir pandemik covid-19, lebih setahun lamanya, tidak boleh kita nafikan pentingnya untuk menambah baik sistem kesihatan di negara kita.
“Semasa saya menjadi Perdana Menteri, saya telahpun mencadangkan pelan induk pembaharuan sistem penjagaan kesihatan Malaysia dibangunkan.
“Sistem kesihatan kita hampir lumpuh impak daripada pandemik yang di luar dugaan ini. Sejumlah peruntukan yang besar perlu menambah baik fasiliti kesihatan dan menjaga kebajikan para petugas kesihatan di dalam negara kita,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin menerima pelantikan sebagai Pengerusi MPN bertaraf menteri, dengan sedia menjalankan tugas secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.
Muhyiddin berkata, beliau dan anggota MPN akan berperanan membantu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan membawa Malaysia melalui fasa pemulihan seperti digariskan dalam PPN. – Malaysiapost

