PH tidak pernah umum pertukaran kenderaan rasmi menteri – Guan Eng

0
2
Lim Guan Eng di Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

PAKATAN Harapan (PH) tidak meluluskan malah tidak pernah mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan (KRJ) bagi Menteri-menteri Persekutuan daripada Proton Perdana 2.4 Premium kepada Toyota Vellfire 2.5L.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, ia berlawanan dengan kenyataan Kementerian Kewangan baru-baru ini bahawa cadangan penggantian KRJ sebenarnya telah dipertimbangkan semasa pentadbiran PH.

Menurutnya, selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, Menteri-Menteri zaman PH telah menggunakan kenderaan Proton Perdana, bukan seperti sekarang yang memakai Toyota Vellfire 2.5 yang lebih mewah.

“Tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan Toyota Vellfire 2.5 lebih rendah berbanding Proton Perdana 2.4 Premium.

“Kadar sewaan Toyota Vellfire 2.5L didakwa adalah RM4,851.61 sebulan berbanding RM4,854.41 untuk Proton Perdana 2.4.

“Kadar kos pajakan Toyota Vellfire yang lebih rendah daripada Proton Perdana 2.4 tidak masuk akal dan tidak munasabah berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia, Farouk Fernandez,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, harga kenderaan yang dijual kepada kerajaan adalah berbeza berbanding entiti swasta dan kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai.

“Adakah kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana 2.4 Premium dipertimbangkan selain daripada memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan Malaysia?

“Demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan perlu memaklumkan orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat mana menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here