PAS meminta pengundi di Melaka memberi peluang kepada calon-calon parti itu untuk dipilih sebagai wakil rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.
Bekas Ketua Dewan Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin berkata parti itu terbukti mempunyai rekod bersih sebelum ini kerana tiada seorang dalam kalangan wakil rakyatnya yang melompat parti.
“Bismillah, ini adalah rakan-rakan seperjuangan saya yang mewakili PAS dalam PRN Melaka.
“Berikan peluang kepada calon-calon kami. PAS mempunyai rekod bersih dan tiada rekod Yang Berhormat kami “lompat parti” atau mengingkari dasar perjuangan parti.
“Insya-Allah, rakan-rakan saya sedia memberikan khidmat yang terbaik buat rakyat Melaka. Melaka menuju negeri berintegriti pasca PRN 2021, Allahuakbar,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Ahli Dewan Negara itu turut berkongsi gambar semua calon PAS pada PRN kali ini.
PAS yang bertanding menggunakan simbol Perikatan Nasional (PN) bertanding lapan daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). – Malaysiapost

