BEKAS Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berentap dengan lima pencabar dalam pertarungan enam penjuru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ianya disahkan oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) DUN Asahan, Luqman Nulhakim Mohamad Idris di Dewan Besar Kolej Komuniti Selandar, pada jam 10.50 pagi tadi.
Idris yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) berhadapan cabaran sengit daripada Ketua Pemuda Umno Melaka, Fairul Nizam Roslan, 43 dan Danesh Basil, 29, (PN-Gerakan).
Selain itu, tiga calon Bebas iaitu pesara tentera yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu Alor Gajah, Mohd Akhir Ayob, 50; Azmar Ab Hamid, 49, yang menggunakan simbol kunci dan Mohd Noor Salleh , 43, menggunakan simbol pokok.

Idris berkata, beliau melihat saingan enam penjuru itu menampilkan demokrasi positif yang subur, walaupun pada era pandemik ketika ini.
Katanya, proses penamaan calon berjalan lancar dan beliau mengucapkan syabas kepada SPR kerana pelaksanaan dilakukan secara tuntas dan menepati prosedur operasi standard (SOP) cekap dan efisien, lapor Harian Metro.
Sementara itu, Mohd Akhir yang menggunakan logo buku merupakan anak jati Batang, Melaka, berkata, beliau mengambil keputusan bertanding kerana menjiwai kesusahan rakyat.
Menurutnya, selepas berbincang dengan isteri, mentua dan dan empat anaknya, dia mengambil keputusan itu dengan tenang dan ikhlas untuk kepentingan rakyat.
“Saya adalah Bekas Setiausaha Japerun DUN Asahan dan merasakan situasi politik tidak stabil serta bosan dengan perkembangan itu.
“Pengalaman 22 bulan menjadi pentadbir di DUN itu membolehkan saya mengetahui perit maung penduduk,” katanya. – Malaysiapost

