Jangan besarkan isu siapa bakal Ketua Menteri – Ahmad Zahid

0
3

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar isu siapa bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah tidak diperbesarkan.

Sebaliknya beliau mahu tumpuan diberikan agar BN dan sekutunya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dan membentuk kerajaan terlebih dahulu.

Jelasnya, mereka perlu terlebih dahulu mendapatkan jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan sebelum membincangkan soal siapa Ketua Menteri.

“Asasnya, apabila kita melepasi garisan iaitu dapat 37 kerusi baru layak membentuk kerajaan. Jangan terlalu yakin kerana rakyat melihat. Kalau kita terlalu yakin rakyat tak suka.

“Bagaimanapun, rakyat akan mendapat Ketua Menteri yang terbaik jika kita menang. Ini adalah norma baharu dan ia perlu dihormati semua pihak,” katanya ditemui selepas program ramah mesra bersama pemimpin di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Dalam ucapannya sebelum itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata BN memutuskan untuk tidak bercakap soal siapa calon Ketua Menteri sehingga mereka menang pada PRN.

“Kita bagi menang dulu sekurang-kurangnya 37 kerusi. Selepas itu kita runding di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan masa itulah kita lantik siapa Ketua Menteri.

“Parti yang dapat banyak kerusi maka itulah yang paling layak jadi Ketua Menteri,” katanya.

Setakat ini, hanya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Perikatan Nasional (PN) telah memberi bayangan siapa bakal dilantik sebagai ketua menteri mereka jika parti itu diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan berkenaan.

Nama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Hajiji Noor antara yang banyak disebut sebagai bakal Ketua Menteri dari parti itu jika dipersetujui rakan parti lain.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sebelum ini berkata Hajiji memenuhi kriteria yang diperlukan rakyat Sabah untuk menerajui negeri berdasarkan pengalaman luas beliau dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini. – Malaysiapost