NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa supaya tumpuan diberikan kepada usaha menumbangkan Parti Warisan Sabah (Warisan) terlebih dahulu berbanding bercakap soal Ketua Menteri.
Menurut Ismail, Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar tidak menimbulkan isu yang boleh membawa kepada perpecahan awal pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ketika ini.
Beliau menegaskan, setiap parti mempunyai hal menamakan siapa saja sebagai calon Ketua Menteri Sabah namun tertakluk kepada persetujuan rakan seperjuangan lain.
“Setakat hari ini perkara penting adalah menang dulu dan semua kena fokus untuk memenangkan parti yang menentang Warisan di Sabah.
“Kalau timbul isu lagi di peringkat awal kita berpecah sikit akan boleh kalah. Kita bersatu bersama tumbangkan Warisan dan selepas itu baru tentukan ketua menteri dan bincang. Kalau kalah nak bincang apa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Santai Petang Menteri Pertahanan bersama Penggiat Seni Tanah Air sempena Kempen Tabung Pahlawan 2020 di Kuala Lumpur.
Terdahulu, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali menyuarakan pendapat beliau mempromosi Datuk Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Azmin berkata Hajiji sebagai calon Ketua Menteri Sabah memiliki keperibadian dan watak yang melayakkannya mengetuai pentadbiran negeri itu.
“Sabah memerlukan ketua yang boleh bekerja dan berkhidmat untuk rakyat,” katanya.
Azmin dilihat mengulangi kenyataan Muhyiddin pada Hari Penamaan Calon PRN Sabah dengan membayangkan Hajiji akan mengetuai pentadbiran Sabah sekiranya mendapat persetujuan parti bersekutu dalam PN dan Barisan Nasional (BN) sebagai Gerakan Rakyat Sabah.
Sementara itu, Ismail berharap penggiat seni tanah air tampil menghulurkan bantuan dengan mempromosikan Kempen Tabung Pahlawan 2020 di media sosial supaya kementerian itu dapat mencapai kutipan sasaran iaitu sebanyak RM10 juta.
Ismail berkata, golongan tersebut mempunyai pengaruh kuat kerana mempunyai ramai peminat dan ia diyakini dapat membantu kempen itu hingga akhir tahun ini.
“Tahun lalu kita sasar RM8 juta tapi dapat kumpul RM10 juta. Tahun ni memang puas kami fikirkan program yang dapat membantu menjana kutipan disebabkan terdapat kekangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.
“Jika dulu banyak aktiviti seperti program larian dan badminton amal boleh dilakukan.
“Jadi untuk tahun ni kita menumpukan promosi kempen tahun ini bersama kalangan penggiat seni dan pempengaruh media (media influencer) menerusi media sosial,” katanya. – Malaysiapost

