Uji Ivermectin kepada kontak rapat Covid-19

0
2

KAJIAN klinikal bagi melihat keberkesanan Ivermectin sebagai profilaksis (pencegahan penyakit) akan dimulakan dalam masa terdekat melibatkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalaiarasu M Peariasamy, berkata ia akan dijalankan menerusi kerjasama industri serta ICR selain hospital dan kesihatan awam di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, langkah berkenaan adalah bagi mengenal pasti sama ada keberkesanan Ivermectin boleh mencegah jangkitan Covid-19 atau sebaliknya, lapor Utusan Online.

“Justeru, kita sedang menunggu kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) bagi menjalankan kajian itu dan kita harap boleh dimulakan seawal bulan depan.

“Kajian ini akan melibatkan 300 sampel dengan kontak rapat berusia 18 tahun ke atas di 10 fasiliti kesihatan di empat negeri iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Selagi dia adalah kontak rapat, mereka dipelawa untuk menyertai kajian klinikal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama media secara maya mengenai keberkesanan rawatan Ivermectin dalam penyakit Covid-19 melibatkan pesakit berisiko tinggi (Kajian I-Tech).

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim sebagai moderator selain beberapa pakar dan mereka yang terlibat dalam kajian tersebut.

Dalam pada itu, Dr Kalaiarasu berkata, kontak rapat tersebut perlu membuat ujian saringan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) sebanyak dua kali sebelum kajian serta pada hari kelapan.

“Sepanjang tempoh kuarantin, mereka akan diperhatikan dan dipantau mengikut garis panduan KKM. Ivermectin akan diberikan dalam tempoh dua hari iaitu hari pertama dan kedua.

“Kajian ini juga akan diberhentikan apabila sampel itu penuh sehingga mencapai 300 individu,” katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada 3 November lalu memaklumkan, kajian dijalankan ICR, Institut Kesihatan Negara (NIH) berkenaan penggunaan Ivermectin ke atas 500 pesakit Covid-19 mendapati ia tidak mampu mencegah Covid-19 daripada menjadi serius.

Beliau dipetik berkata, ekoran dapatan daripada kajian itu, KKM tidak akan menyarankan penggunaan Ivermectin dimasukkan ke dalam garis panduan rawatan Covid-19 yang sedia ada di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here