KERUSI Setiausaha Agung PAS kekal diterajui Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi sesi 2021-2023 yang diputuskan dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat sempena Muktamar kali ke-67.
PAS juga mengumumkan mengekalkan dua lagi jawatan bagi lantikan membabitkan posisi Bendahari dan Ketua Pengarah Pilihan Raya.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia berdasarkan peruntukan Fasal 25 (4), dan dengan persetujuan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat.
Menurut beliau, jawatan Setiausaha Agung PAS terus disandang Takiyuddin, manakala jawatan Bendahari mengekalkan Datuk Iskandar Abdul Samad.
Manakala, katanya, bagi jawatan Pengarah Pilihan Raya pula terus diamanahkan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
“Pelantikan jawatan-jawatan lain bagi sesi 2021 – 2023 akan disempurnakan dalam mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat seterusnya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Terdahulu, pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2021-2023 dibuat sempena Muktamar kali ke-67 yang diadakan di Duyong Marina Resort, Terengganu, hari ini. – Malaysiapost

