Norhizam sahkan tanding DUN Pengkalan Batu tiket Bebas

0
2

DATUK Norhizam Hassan Baktee hari ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dijangka berdepan pertembungan lima penjuru bagi merebut DUN tersebut.

Katanya, beliau mahu membuktikan berupaya mengulangi kemenangan diraih pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) walaupun akan membawa cabaran sebagai calon Bebas.

“Saya akan bertanding di DUN Pengkalan Batu atas tiket Bebas. Menjadi pemimpin Bebas tetapi boleh buat kerja. Lebih baik bertanding Bebas, apa kita mahu boleh buat dan bebas bersuara.

“Semuanya sudah selesai. Borang (penamaan calon) telah diisi dan membayar deposit untuk poster kepada pihak berkuat kuasa tempatan (PBT) serta deposit kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Semalam bagi DUN Pengkalan Batu, Perikatan Nasional (PN) mengumumkan akan mencalonkan Mohd Azrudin Md Idris, manakala Barisan Nasional (BN) menamakan Datuk Kalsom Nordin sebagai calon.

Selain itu Pakatan Harapan (PH) akan ditandingi wakil DAP, Muhammad Danish Zainudin serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra menamakan Dr Aluwi Sari.

Norhizam berkata, beliau berkeyakinan akan dapat mencipta kemenangan 80 peratus pada PRN nanti.

“Saya bukan bercakap kosong, sebaliknya ada KPI (indeks prestasi utama) selama lebih tiga tahun bekerja untuk rakyat. Saya mungkin dilahirkan untuk rakyat.

“Kalau kita menjadi calon yang baik, insya-Allah saya yakin ada kekuatan dan berpeluang 80 peratus akan menang. Parti hanya simbol dan logo, namun yang mengundi kita adalah rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Norhizam mendakwa ada menerima tawaran daripada parti pembangkang tertentu tetapi menolaknya.

“Saya boleh katakan ada, namun tidak perlu cakap (parti mana). Tawaran itu biasa, lebih empat ditolak.

“Saya yakin mereka hendak ‘offer’ (memberi tawaran) sebab saya antara Yang Berhormat (YB) yang membuat kerja. Bukan tidak berminat tetapi apabila ‘masuk rumah’ orang, ‘ding-dong’ banyak sangat,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu serta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencapai kata sepakat, Norhizam tidak akan menjadi calon PH bertanding dalam PRN Melaka.

Sebelum ini, DAP secara lantang menolak Norhizam daripada menyertai PH selepas bertindak keluar dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

Norhizam juga antara punca kejatuhan kerajaan Melaka pimpinan PH pada tahun lalu apabila meninggalkan gabungan itu dan mengaku hanya menjadi barua sepanjang bersama parti berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here