PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu sedia memaafkan wartawan Harakah, Roslan Shahir susulan permohonan maaf berhubung penerbitan satu artikel pada tahun lalu.
Artikel itu bertajuk “Husam: PAN parti diktator” yang disiarkan di laman sesawang Harakahdaily pada 14 September 2020.
“Saya sedia memaafkan Saudara Roslan dengan rakan-rakan di sebelah sana. Kasihan juga depa ni, ramai yang kena saman, ramai yang terpaksa minta maaf selepas membuat fitnah. Lebih tidak manis apabila golongan agama yang melakukannya.
“Abang Mat bergelumang dalam politik sudah lebih 40 tahun. Terbiasa dan kental dengan serangan politik. Masuk ISA, kena tahan polis pun dah biasa.
“Haters kalau nak kata pun, elok berfikir banyak kali. Jangan sampai kena minta maaf. Semoga Allah ampuni dosa-dosa kita semua,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu Harakahdaily memuatnaik permohonan maaf Roslan yang menulis artikel tersebut selepas merujuk satu laporan media bertajuk “Husam letak jawatan naib presiden Amanah, kata sumber” yang telah disiarkan oleh portal The Malaysian Insight pada tarikh sama.
“Saya secara tidak sengaja telah menerbitkan berita yang disiarkan oleh portal The Malaysian Insight yang tidak dipastikan kesahihannya.
“Pun begitu, saya sedar bahawa kandungan Artikel tersebut boleh membawa maksud dan pemahaman yang berbeza kepada para pembaca terutamanya kepada YB Mohamad Sabu apatah lagi setelah YB Mohamad Sabu membuat penafian seperti disiarkan dalam satu laporan lain oleh portal The Malaysian Insight pada 15/09/2020.
“Oleh yang demikian, saya dengan seikhlas hati ingin memohon maaf kepada YB Mohamad Sabu sekiranya artikel tersebut mengguris perasaan dan/atau mengaibkan nama baik YB Mohamad Sabu,” katanya. – Malaysiapost

