Dua kes pertama jangkitan subvarian Delta AY.4.2. dalam negara – KKM

0
2
3D illustration

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan dua kes pertama Covid-19 di negara ini yang dijangkiti subvarian Delta AY.4.2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, subvarian itu ditemui dalam kalangan kes import iaitu pelajar Malaysia yang baru pulang dari United Kingdom (UK).

Katanya, dua kes berkenaan tiba di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Oktober lalu dan ujian calitan RT-PCR yang dijalani mereka adalah negatif bagi sampel pertama.

“Bagaimanapun, ujian bagi keputusan berkenaan positif apabila diuji pada sampel kedua yang diambil pada 7 Oktober lalu ketika tempoh kuarantin.

“Sampel berkenaan kemudian menjalani penjujukan genom penuh di Institut Biologi Molekul Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UMBI) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan laporan keputusan itu dikeluarkan pada 30 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, varian AY.4 adalah satu daripada lineage Delta yang mana pada masa ini terdapat lebih 75 jenis lineage berasal dari Delta.

“Satu daripada ‘sublineage’ AY.4 adalah Varian AY.4.2 yang juga dikenali sebagai “Delta Plus.” Varian AY.4.2 ini mempunyai dua mutasi tambahan pada protein spike iaitu Y145H dan A222V.

“Sehingga akhir bulan lalu, variant AY.4.2 adalah 10 peratus daripada jumlah penjujukan genom penuh yang dijalankan di UK. Agensi Keselamatan Kesihatan UK pada 20 Oktober lalu menetapkan AY.4.2 sebagai Variant Under Investigation (VUI),” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, vaksin yang digunakan sekarang masih berkesan terhadap varian ini dan langkah seperti kuarantin, pengujian dan sebagainya yang dijalankan dapat membantu mengurangkan risiko penularan varian ini di Malaysia terutama di PMA.

“KKM akan terus memantau dengan teliti dari semasa ke semasa bagi mengesan kewujudan subvarian Delta dalam komuniti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here