Muhyiddin: Tak perlu bersalaman ketika kempen

0
3

Aiman Hanif

[ COVID-19 ] PENGUNDI faham jika tidak bersalaman, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu norma baharu tetap diamalkan ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sedang berlangsung ketika ini.

Muhyiddin berkata, disiplin rakyat Sabah dan amalan norma baharu ketika ini dituntut memandangkan peningkatan kes Covid-19 di Tawau dan Lahad Datu.

“Semasa musim pilihanraya ini ramai yang akan berkumpul dan bersalaman. Nasihat saya elakkanlah sebarang perkumpulan di tempat yang sesak dan sempit.

“Elakkan juga bersalaman dengan pengundi. Saya fikir para pengundi pun faham kalau mereka yang turun berkempen tidak menghulurkan tangan untuk bersalaman.

“Yang penting kita saling melindungi antara satu sama lain supaya tidak terkena jangkitan Covuid-19. Kita jaga kita bah,” kata Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan khas Covid-19 yang disiarkan secara langsung di televisyen dan Facebook.

Hari ini terdapat 13 kes tempatan baharu penularan Covid-19 dilaporkan dan kesemuanya di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terdapat 23 kes penularan baharu hari ini termasuk 10 kes import.

Bagi kes import pula, ia membabitkan lima warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

Dalam pada itu Muhyiddin berkata, amat penting untuk semua pihak mematuhi prosedur ditetapkan bagi memutuskan rantaian wabak itu.

Jelasnya jika peningkatan kes tidak terkawal kerajaan tiada pilihan lain dan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pasti memberi kesan kepada ekonomi negara.

“Saya ingin mengingatkan kita semua akan kesan sekiranya kes-kes Covid-19 meningkat dengan mendadak dan PKP terpaksa dilaksanakan
semula.

“Akibatnya tentulah amat buruk kepada kehidupan kita dan ekonomi negara. Kita tidak boleh ke mana-mana dan tinggal di rumah sahaja seperti yang sedang dikuat kuasakan di Kota Setar, Kedah pada masa ini.

“Justeru, saya berharap kita semua akan terus cekal, tabah dan berdisiplin dalam menghadapi penularan wabak Covid-19,” katanya lagi. – Malaysiapost