Nurul Huda Abhar
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan tidak akan terburu-buru untuk membuka sempadan negara bagi mengekang aliran kemasukan individu yang berpotensi dijangkiti Covid-19 ke dalam negara.
Muhyiddin menegaskan kawalan akan terus diperketatkan termasuk meningkatkan usaha menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Sempadan negara kita masih ditutup kecuali untuk tujuan perniagaan termasuk pelaburan dan pendidikan dengan syarat-syarat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) tertentu yang ketat.
“Jika dibandingkan dengan situasi di beberapa negara luar, terdapat negara yang masih berusaha keras menangani penularan jangkitan Covid-19 yang belum lagi menunjukkan tanda untuk reda,” katanya dalam ucapan Situasi Semasa Jangkitan Covid-19 di Malaysia hari ini.
Menurut Muhyiddin, kini beberapa negara lain sedang bergelut dengan ancaman gelombang baharu penularan wabak Covid-19.
Katanya, perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia jika kita leka dan memandang remeh penularan wabak ini di peringkat global.
“Walaupun kawalan sempadan negara yang ketat menimbulkan sedikit kesukaran khususnya mereka yang mempunyai urusan di luar negara, tindakan tegas perlu diambil untuk melindungi rakyat dan negara daripada wabak yang mengancam nyawa ini,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau turut menegaskan tidak teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes-kes baharu Covid-19 yang tinggi.
Ini berikutan Malaysia masih mengalami penularan aktif wabak Covid-19 dimana kes harian yang direkodkan adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar.
“Ini memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya.
“Justeru, saya ingin mengingatkan supaya terus berwaspada. Jangan leka. Peraturan-peraturan berkaitan kuarantin, pemakaian penutup hidung dan mulut dan pematuhan kepada SOP masih berkuatkuasa,” katanya. – Malaysiapost

