Calon BN kena tandatangan 2, 3 surat aku janji

0
2

SEMUA 28 calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menandatangani “dua hingga tiga” kontrak perjanjian, kata Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Kalau mengingkari janji aku janji yang dia (calon) tandatangan dengan kita, kita akan bawa dia ke mahkamah. Sebab ini aku janji bukan aku janji atas dasar politik, tapi aku janji kontrak – contractual obligation.

“Ada dia punya siling (hukuman) tapi terpulang kepada mahkamah.

“Orang kalau nak lompat parti selepas tandatangan itu kena fikir dua, tiga kalilah supaya mereka tidak mendatangkan masalah kepada parti selepas menang mewakili parti tetapi mengkhianati,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata demikian pada sidang media majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka di ibu negara hari ini.

Mohamad turut mengumumkan BN akan berkempen dengan tema ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ pada PRN berkenaan.

“Maka untuk BN memastikan selaras dengan tema kita Kestabilan Demi Kemakmuran, calon-calon yang mewakili BN akan menandatangani perjanjian ini.

“Saya berharap komitmen ini akan memberikan keyakinan kepada rakyat untuk memilih sebuah parti yang benar-benar komited untuk memastikan kestabilan boleh dicapai demi kemakmuran Melaka dan kesejahteraan Malaysia,” katanya.

Penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada Isnin ini manakala hari mengundi dijadualkan pada 20 November.

Mohamad juga memaklumkan BN itu akan bertanding secara solo dan menggunakan logo sendiri, serta tidak bekerjasama dengan mana-mana parti lain dalam PRN.

“BN pergi bersendirian. Saya ulang sekali lagi, tidak ada lagi soal jawab sama ada nak bersama dengan siapa-siapa,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here