PAS wajib berusaha sekurang-kurangnya menjadi penentu dalam keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berasaskan jumlah kerusi yang menang, bukannya banyak jumlah kerusi bertanding tanpa kerusi yang dimenangi.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata ia penting bagi membolehkan PAS mendapat jaminan paling kuat bagi menegakkan konsep kepimpinan Islam yang berprinsip.
“Mandatnya diserahkan kepada Majlis Syura Ulama’ dan PAS Pusat untuk membuat penelitian dan keputusan dalam urusan berkaitan hukum, dasar dan strategi bagi menghadapi pilihan raya dan segala kemungkinan selepas pilihan raya.
“Ini demi memastikan Islam terus memimpin,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden PAS yang disiarkan secara langsung di media sosial sempena Muktamar PAS 2021 hari ini.
Dalam pada itu Abdul Hadi menegaskan, PAS jangan dikurung dalam sebarang permuafakatan yang tertutup dalam lingkungan sekadar menjadi penumpang dalam perjalanan politik tanah air.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS mesti menjadi pemimpin bersama rakan-rakan lain sehingga berjaya menarik sokongan rakyat bagi menyelamatkan negara bersama Islam yang telah diperkenalkannya.
Beliau juga menegaskan PAS menolak sebarang usaha untuk membentuk penjajaran baharu dengan pelbagai jenama atau perubahan yang dicadangkan.
Ini kerana katanya, parti itu baru sahaja menubuhkan Muafakat Nasional (MN) mengikut acuan asal yang lengkap sebagai pendahuluan mengikut Piagam terbuka bukan tertutup.
Dalam masa sama, katanya, PAS berjaya menubuhkan Perikatan Nasional (PN) yang lebih terbuka dan kuat, sehingga mengambil alih Kerajaan Persekutuan, laksana menanam benih yang baru tumbuh dengan subur.
“Maka, sebarang cadangan lain laksana tumbuhan liar yang mesti dihapuskan atau makhluk perosak yang wajib dimusnahkan,” katanya.
Abdul Hadi berkata PAS mesti mempelajari daripada pengalamannya yang lalu bagi menyatukan parti-parti Melayu Islam sebagai teras politik negara.
Ini katanya, termasuk menyelamatkan Umno yang cedera parah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan Bersatu yang baharu ditubuhkan oleh asal usul Umno yang berpecah.
“Kedua-dua parti ini telah ditemukan semula oleh PAS melalui wadah penyatuan MN dan PN, dengan peranan PAS sebagai pendamai.
“Ternyata, usaha penyatuan ummah tidaklah mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, PAS wajib menghadapi PRU15 dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini dan jangan wujud sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU14 berulang lagi.
“Kemunculan MN pada mulanya hanya dianggotai PAS dan Umno sahaja. Kemudian kedua-dua parti bersetuju untuk menjemput Bersatu, sekali gus menjadi asas permulaan kepada konsep Islam Memimpin dan Perpaduan Ummah yang lebih kukuh.
“Seterusnya, ia dilangsungkan kepada pembentukan gabungan lebih majmuk iaitu PN bersama parti-parti yang mewakili pelbagai agama dan kaum yang berjaya mengambil alih kerajaan.
“Gabungan ini menerima asas Perlembagaan Persekutuan dan terbuka penyertaannya kepada semua parti yang tidak menyeleweng daripada Perlembagaan. Inilah acuan perpaduan nasional yang kita ingin perkenalkan kepada semua,” katanya lagi. – Malaysiapost

