Muktamar terpenting tentukan hala tuju PAS – Hadi

0
1

MUKTAMAR PAS 2021 yang dirasmikan hari ini ialah muktamar terpenting dan mungkin terakhir sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata muktamar kali ini adalah bagi menegaskan hala tuju PAS menuju PRU15 untuk Islam terus memimpin dengan mengekalkan Kerajaan Persekutuan dan negeri yang dimenangi oleh PAS.

Pada masa sama, katanya, ia juga penting dalam usaha parti itu menambah bilangan kerusi dan pengaruh PAS di negeri-negeri lain.

“Marilah kita menyatakan Alhamdulillah, kesyukuran kepada Allah SWT kerana parti kita terus beristiqamah atas prinsip Islam,
dan berjaya melakukan Islah dan Tajdid mengikut situasi dan realiti yang sangat mencabar pada hari ini.

“Sehinggakan, kita berjaya menjadi ‘kingmaker’ bersama rakan-rakan dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan memimpin Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam Ucapan Dasar Presiden PAS yang disiarkan secara langsung di media sosial.

Abdul Hadi berkata PAS telah menempa sejarah dengan mengambil alih Kerajaan Persekutuan secara aman dan demokratik daripada
Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU14 dengan penuh pembohongan kepada rakyat.

Pasca PRU14, katanya, PAS berjaya mengubah landskap politik daripada kerajaan dominasi bukan Islam yang mengheret ke arah liberal sehingga berani merungkaikan asas-asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mengembalikan kepimpinan kerajaan kepada kepimpinan Islam yang selaras dengan konteks masyarakat majmuk di negara ini.

“Perubahan dilakukan melalui pendekatan menyatukan parti-parti dan kelompok umat Islam yang sedar serta insaf. Pada masa sama, disertai kalangan bukan Islam yang tidak ekstrem dan memahami realiti demografi penduduk di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here