BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata beliau akan mendedahkan apa sebenarnya berlaku di sebalik krisis politik di Melaka sedikit masa lagi.
Pada masa sama, bekas Exco kerajaan Melaka itu menafikan beliau ‘menghilangkan diri’ dipercayai selepas tidak diterima untuk menjadi calon Pakatan Harapan (PH).
“Ramai tertanya-tanya ke mana hala tuju saya untuk PRN kali ini, saya tahu banyak media cuba hubungi saya untuk mendapatkan kepastian.
“Ada yang mengatakan saya hilang daripada radar, itu tidak benar.
“Saya akan dedahkan satu persatu apa yang sebenarnya berlaku di Melaka, rakyat Melaka wajib tahu,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya malam tadi.
Norhizam adalah antara empat Adun yang menarik sokongan kepada bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Bekas Naib Pengerusi DAP Melaka itu ditolak oleh PH untuk menjadi calon gabungan tersebut dalam PRN pada 20 November ini.
Sehubungan itu pelbagai pihak tertanya-tanya adakah beliau akan bertanding sebagai calon Bebas bagi mempertahankan kerusi yang dimenanginya atas tiket DAP pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu. – Malaysiapost

