Arak: Tak adil saya dipersalahkan – Shahidan

0
1

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan tidak wajar beliau dipersalahkan dalam isu penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka serta kedai ubat Cina di Kuala Lumpur yang kini hanya dibenarkan sehingga 9 malam.

Malah Shahidan berkata, adalah tidak wajar isu agama dan bangsa digunakan oleh pihak tertentu berhubung isu berkenaan.

Ini kerana katanya, lesen arak diluluskan Lembaga Pelesenan Eksais dan bukan beliau selaku Menteri Wilayah Persekutuan.

“Arak… lesen diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Eksais, ahli-ahli adalah bukan Islam, pengeluar arak bukan Islam, pengedar dan penjual adalah bukan Islam, pengguna bukan Islam.

“Tetapi Menteri Wilayah Persekutuan yang dipersalahkan. Isu agama dan bangsa digunakan… ini tidak wajar dn tidak adil.

“Namun semua ini cabaran. Wakil penjual arak, YB (Ahli Parlimen) Bukit Bintang, Ketua Pemuda MCA dan Lembaga Pelesenan Eksais sedang bincang dengan saya sekarang, salah faham,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam tadi.

Pada 1 November lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan larangan penjualan arak (liquor) di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina.

Penjualan bir oleh premis terbabit masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja seperti terkandung dalam syarat baharu permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).

Premis tersebut perlu menyediakan ruang jualan atau pameran khas bagi bir yang berasingan daripada minuman lain, mengunci ruang jualan atau pameran selepas tamat waktu operasi penjualan bir.

Hanya pembeli berusia 21 tahun ke atas dibenarkan membeli.

Susulan itu, tujuh ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) memohon DBKL dan Menteri Wilayah Persekutuan mempertimbang untuk menarik balik perintah larangan baharu bagi penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.

Tujuh Ahli Parlimen itu ialah Tan Kok Wai (Cheras), Hannah Yeoh (Segambut), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh), Lim Lip Eng (Kepong), Dr Tan Yee Kew (Wangsa Maju) dan P Prabakaran (Batu).

Mereka bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras telah mengadakan perjumpaan dengan Shahidan berkenaan isu berkenaan, namun mendakwa permohohan tersebut tidak diendahkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here