Diana Danielle menggigil ada pihak salahkan Zulfarhan

0
2

AKTRES Diana Danielle berasa marah sehingga menggigil apabila mendapati ada netizen mempertahankan pembuli Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 30, merasakan tidak sepatutnya ada yang berpihak kepada mereka yang menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) empat tahun lalu.

Bagaimanapun, ciapan seorang individu di laman Twitter yang mendakwa Allahyarham adalah punca utama kejadian telah membangkitkan kemarahan pelakon berkenaan.

“Pandainya bercakap. Perangai awak tu elok sangat ka sampai layak untuk hidup? Akaun Twitter dia sudah dinyah aktif tapi kenyataannya buat saya menggigil.

“Ia sangat membimbangkan apabila ada orang seperti dia boleh berpihak kepada pembuli dan penindas! Undang-undang sudah dilaksanakan dan semua mereka akan menjalani hukuman. Kami tidak perlukan pendapat anda,” luahnya di Instagram Story.

Diana yang juga ibu kepada dua anak dan isteri kepada pengarah dan pelakon Farid Kamil menegaskan, dia tidak boleh ‘pejam mata’ terhadap budaya membuli.

Menurutnya, budaya membuli perlu dihentikan serta merta apabila sudah berulang kali terjadi sehingga menyebabkan kematian.

“Keadilan untuk Zulfarhan. Hentikan budaya membuli di institusi! Membina jati diri tak ada kena mengena dengan membuli.

“Sudah banyak kali kes buli sehingga menyebabkan kematian. Jadi, macam mana saya nak terus berdiam diri? Saya juga mempunyai anak-anak,” katanya.

Terdahulu, individu terbabit dalam satu ciapan di Twitter turut mempersoalkan mengenai perangai Allahyarham Zulfarhan hingga mengakibatkan kematiannya.

“Kau tak nak tanya apa punca semua ini? Kau tak nak tahu perangai arwah macam mana sampai boleh jadi macam ini,” kata individu terbabit.

Isnin lalu, enam bekas penuntut UPNM dijatuhi hukuman penjara 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah menyebabkan kecederaan tanpa niat membunuh terhadap Zulfarhan.

Keenam-enam tertuduh bersama 12 lagi turut dijatuhi hukuman tiga tahun penjara selepas didapati bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa mangsa mencuri komputer riba.

Kedua-dua kesalahan itu, didakwa dilakukan di Bilik 04-10, Blok Penginapan Asrama Jebat di UPNM, antara jam 4.45 dan 5.45 pagi pada 22 Mei 2017 serta bilik 03-05 asrama yang sama, antara jam 2.30 dan 5.30 pagi 21 Mei 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here