Bungkusan makanan diselit RM50 untuk warga emas – Polis Melaka

0
2

TIADA sebarang aktiviti meraih undi menggunakan wang dikesan oleh pihak polis di Melaka setakat ini seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Azlan Abu, berkata satu gambar menunjukkan terdapat beberapa bungkusan makanan diselitkan wang tunai RM50 yang dikatakan berlaku di Melaka.

Menurutnya, terdapat juga komen-komen yang menyatakan bahawa program itu berunsurkan politik bagi tujuan meraih undi.

“Hasil semakan, terdapat satu video berkenaan kejadian itu menunjukkan agihan bantuan makanan dan wang tunai RM50 kepada orang-orang tua.

“Namun tidak terkesan sebarang aktiviti meraih undi atau apa-apa lambang atau elemen parti politik di dalam kandungan video berkenaan.

“Sehingga kini pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan dibuat berkenaan kejadian tersebut di dalam daerah Melaka Tengah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun, atau kedua-duanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan dari 25 Oktober lalu hingga semalam, Polis Melaka telah membuka sebanyak 16 kertas siasatan dan lima kompaun dikeluarkan berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Polis ingin mengingatkan orang ramai tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau tujuan dan kepentenginan sendiri. Tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi setiap kesalahan yang dilakukan.

“Dalam pada itu, mana-mana individu yang mengetahui tentang kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Md Assyukri Saini di talian 016-7530492,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here