KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) membuka lembaran baharu sejarah sukan olahraga negara apabila melancarkan projek larian 100 meter bawah 10 saat atau dikenali sebagai Projek B10.
Projek khas bagi permulaan lima tahun pertama ini bertujuan untuk melahirkan kelompok pelari pecut terpantas negara yang mampu memecahkan tembok halangan masa untuk berlari dengan catatan di bawah 10 saat.
Projek khas ini merupakan satu daripada Program Bitara KPT yang disifatkan berimpak tinggi dan mempunyai tempoh waktu sasaran yang lebih panjang antara satu hingga lima tahun.
Pelaksanaan projek ini mampu meningkatkan visibiliti KPT serta rakan strategik seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan (KPM), Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Majlis perlancaran projek eksklusif itu disempurnakan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad secara dalam talian melalui Facebook Rasmi KPT hari ini.
Noraini berkata, walaupun ia suatu cabaran sukar, beliau percaya negara mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari dengan keupayaan luar biasa melalui bimbingan terbaik serta kepercayaan tinggi diberikan oleh KPT.
“Kalau boleh kita mahu jadi negara yang pertama di Asia Tenggara berjaya memecahkan tembok halangan ini,” katanya.
Noraini berkata, projek rentas kementerian dan agensi itu yang juga boleh diangkat sebagai Projek Nasional merupakan program yang mempunyai objektif serampang dua mata.
Di samping menyasarkan untuk memecah catatan masa di bawah 10 saat, katanya, KPT percaya di sepanjang perjalanan itu, Malaysia akan dapat melahirkan kelompok pelari pecut yang menguasai acara larian 100 meter dan berganti-ganti di peringkat Asia Tenggara dan Asia.
Projek ini turut mendapat sokongan padu beberapa pelari pecut negara dan jurulatih pecut kebangsaan termasuk Watson Nyambek.
“Saya percaya kita mampu melahirkan pelari pecut negara yang boleh berlari di bawah masa 10 saat sekiranya mendapat bimbingan yang baik dan diberikan tumpuan khas,” kata bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu.
Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Mohd Mansahar Abdul Jalil turut yakin bahawa dengan kemampuan jurulatih pecut kebangsaan yang ada, diperkukuhkan lagi dengan bimbingan bekas pelari pecut negara, tidak mustahil Malaysia mampu melakar sejarah menerusi acara riben biru ini.
Pemilihan pelatih-pelatih untuk ditempatkan dalam projek ini dijangka bermula pada Februari 2022 dengan had umur 18 hingga 22 tahun yang mana mereka perlu melepasi empat ujian utama ditetapkan.
Setiap pelatih akan menjalani tempoh latihan antara satu hingga lima tahun dan akan menerima elaun bulanan sepanjang berada dalam program khas tersebut. – Malaysiapost

