DUN Sarawak bubar berkuat kuasa 3 November

0
1

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Sarawak dibubarkan berkuat kuasa 3 November lalu, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau memaklumkan, Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar akan maklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pembubaran berkenaan.

“Kerajaan negeri sekarang akan berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya negeri Sarawak diadakan,” katanya pada sidang media khas di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Abang Johari berkata, pembubaran DUN Sarawak kali ini berlaku dalam situasi yang agak unik kerana ia serentak dengan pengumuman penamatan Proklamasi Darurat Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Rabu lalu.

Katanya, walaupun semua sudah mengetahui DUN Sarawak dibubarkan dua hari lalu, pihaknya akan memaklumkannya kepada SPR.

“Speaker DUN akan membuat pemakluman secara rasmi kerana itu adalah prosedurnya.

“Sekarang, terpulang kepada SPR untuk menentukan tarikh pilihan raya dan kita akan menyerahkan kepada rakyat untuk memberikan mandat baharu bagi mentadbir negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum membincangkan soal pemilihan calon bagi menghadapi PRN-12 yang dijangka diadakan hujung bulan ini atau awal bulan depan.

Beliau berkata masih terlalu awal untuk membincangkannya kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru saja dibubarkan Rabu lalu.

Bagaimanapun, katanya, perbincangan mengenai agihan kerusi antara empat parti komponen yang membentuk GPS sudah diadakan namun masih di peringkat awal.

“Tunggulah dulu, DUN pun baru saja dibubarkan,” katanya 

Empat parti tempatan yang membentuk GPS terdiri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Sementara itu, Abang Johari berkata, selepas penamatan Proklamasi Darurat itu, pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari bagi menjamin hak rakyat Sarawak untuk memilih kerajaan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen.

Katanya, penamatan perintah darurat oleh Yang di-Pertuan Agong itu selaras dengan peruntukan dalam Seksyen 2(2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 selepas baginda berunding dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud.

“Dalam membuat keputusan ini, kami turut menelitinya dengan pihak berkuasa kesihatan dan pihak berkepentingan lain supaya pilihan raya diadakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Kadar vaksinasi Covid-19 juga sudah mencapai tahap yang boleh diterima oleh pihak berkuasa supaya pilihan raya dijalankan dengan selamat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here